RANCANGAN Battleground Malaysia - Road to Gold di Astro bukan sekadar rancangan hiburan, tetapi ia merupakan pertandingan sukan tarian ‘street dance’ dan 'breaking dance' di Malaysia.

Bagi yang belum tahu, breaking ataupun break dance sudahpun menjadi salah satu acara sukan di Olimpik bermula di Paris 2024.

Menerusi penjenamaan semula Rakan Muda, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bekerjasama dengan Astro untuk menjadikan Battleground Malaysia sebagai salah satu platform penting untuk mencungkil bakat selain mencari atlet untuk mewakili Malaysia di temasya Olimpik akan datang.

Perkara itu dinyatakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam satu sidang media yang diadakan di Astro, Bukit Jalil baru-baru ini.

“Kita ada ramai belia yang mempunyai bakat dalam seni. Itu sebab kita nak perkenalkan platform ini untuk mencari bakat baharu.

“Saya percaya kalau kita ada acara seperti ini di televisyen untuk kita bagi inspirasi kepada belia lain, kita boleh dapat artis baharu dan atlet baharu," kata Hannah kepada pemberita.

Diperkasakan Rakan Muzik dan Rakan Ekspresi, platform Battleground Malaysia diharap dapat memberi inspirasi kepada belia yang menontonnya untuk terlibat sama terlibat dalam gaya hidup ataupun sukan tarian ini.

Kerjasama dengan Astro ini juga merupakan salah satu fokus utama penjenamaan semula Rakan Muda iaitu memperkasakan pendekatan sinergi dengan pelbagai rakan kongsi strategik dan kumpulan pelaksana. 

Rakan Muda mula diperkenalkan pada 1994 dan KBS telah membuat penjenamaan semula dengan diberi nafas baharu yang sesuai dengan gaya hidup belia pada hari ini.



KBS turut mengadakan beberapa siri jelajah Rakan Muda di peringkat negeri antaranya di Kompleks Rakan Muda Petaling Jaya, Selangor pada Ogos; Program Jelajah Rakan Muda 2023 Terengganu di Kompleks Rakan Muda Besut pada Julai; dan Majlis Pelancaran Rakan Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Jun 2023.

Selain itu, KBS turut memperkenalkan program Sekolah Rukun Negara, yang diselaraskan di bawah KBS i-LEAD atau Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan.



Program Sekolah Rukun Negara merupakan salah satu gaya hidup Rakan Muda iaitu Rakan Demokrasi bagi menggalakkan kefahaman dan pengetahuan tentang demokrasi dalam kalangan belia di negara ini.

Penyertaan belia dalam program-program Rakan Muda amatlah digalakkan kerana selain dapat menggilap bakat, minat dan potensi belia, ia juga dapat meningkatkan kemahiran menerusi program Skills for Life.

Belia yang menyertai Rakan Muda juga akan dapat meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri, meningkatkan hubungan dan jaringan serta dapat memanfaatkan masa dengan aktiviti yang berfaedah.

Selain program Rakan Muzik dan Rakan Ekspresi, lapan program lain yang terdapat dalam Rakan Muda adalah Rakan Aktif, Rakan Bumi, Rakan Demokrasi, Rakan Digital, Rakan Litar, Rakan Mahir, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin.



Harapan KBS bagi siri Battleground Malaysia: Road To Gold  adalah ia dapat menjadi satu medan perpaduan golongan belia dengan penglibatan penari dan hos pelbagai bangsa selain disiarkan di saluran pelbagai bahasa di Astro.

Malah tema Road To Gold bukan sekadar untuk memenangi emas tetapi untuk golongan belia mencapai kecemerlangan, dengan menunjukkan bahawa mereka perlu bekerja keras sebagai satu pasukan untuk mendapatkan kemenangan.

Battleground Malaysia - Road to Gold akan mula disiarkan di saluran Astro RIA (Saluran 104), Vinmeen (Saluran 202) dan SHOWCASE (Saluran 413) setiap hari Jumaat, 10 malam mulai 29 September. Saksikan juga di Astro AEC (Saluran 306) setiap Sabtu 11 malam mulai 30 September.